Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan DBKL telah mengambil tindakan untuk merobohkan struktur haram bersebelahan Dewan Masyarakat Taman Sri Sinar semalam.

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat yang didakwa memberi restu merobohkan Dewan Komuniti Taman Sri Sinar di Segambut kononnya ia struktur haram mendapat kritikan penduduk.

Dewan yang telah dirobohkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam mendapat pelbagai reaksi negatif kerana ia telah dibina oleh Rukun Tetangga setempat lebih 30 tahun dahulu.

Ia tidak sepatutnya dianggap sebagai haram, kata Presiden Yayasan Sukan dan Kebudayaan India Malaysia (MISCF), Datuk T Mohan.

Menurutnya, insiden perobohan dewan berkenaan menimbulkan kontroversi dan kekecohan semalam.

Malah Mohan  kecewa apabila dimaklumkan insiden berkenaan disokong oleh seorang pemimpin politik.

“Sebenarnya adakah ahli politik itu sedar dewan komuniti ini sudah beroperasi lebih 30 tahun dan menjadi tempat latihan bagi pelajar Hayashi Karate selama bertahun-tahun. Kebanyakan mereka berasal dari latar belakang miskin dan tinggal berhampiran. 

“Pelajar-pelajar di sini adalah berbilang kaum dan tidak terhad kepada satu kaum sahaja. Banyak aktiviti dijalankan di sini malah penduduk juga gunakan kemudahannya pada setiap masa. 

“Persoalan saya, mengapa dewan komuniti ini diisytiharkan sebagai struktur haram sekarang setelah ia wujud selama bertahun-tahun. Adakah ada agenda pihak tertentu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Datuk T Mohan

Dakwa Mohan lagi, dewan itu diasaskan oleh keluarga Ponniah yang cemerlang dalam dunia karate dan mengambil inisiatif melatih ramai pelajar dalam sukan itu namun ada pihak iri hati dengan kejayaan puluhan tahun itu.

“Untuk makluman, keluarga Ponniah telah membawa banyak kejayaan untuk negara dan telah melatih ramai pelajar yang cemerlang dalam karate.

“Mereka telah menghasilkan atlet yang memenangi pingat emas dalam sukan termasuk di peringkat Dunia, Asia, Sukma, Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Tidak ada aduan daripada persatuan penduduk mengenai pusat latihan ini dan saya percaya ada motif terselindung di sebalik tekanan politik untuk merobohkan dewan komuniti ini.

“Sebenarnya keluarga Ponniah telah menerima surat daripada DBKL yang membenarkan mereka menjalankan latihan dan diminta mendapatkan surat sokongan daripada wakil rakyat. Keluarga itu juga cuba dapatkan janji temu namun tidak berjaya.

“Sepatutnya wakil rakyat itu panggil  keluarga Ponniah ini berbincang dan mencari penyelesaian yang baik dengan menyediakan tempat alternatif untuk mereka meneruskan latihan sebaliknya beliau tidak berbuat apa-apa. Menyedihkan dan mengecewakan,” katanya.

“Sangat sedih apabila ahli politik yang mempunyai tanggungjawab suci untuk menjaga kepentingan rakyat, menutup sebelah mata dan memenuhi keperluan individu tertentu,” tegasnya.

Semalam Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam hantaran Facebooknya telah menyatakan isu perobohan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu kaum mahupun sukan.

Sebaliknya tindakan pihak berkuasa dalam usaha menangani isu pendudukan haram di atas tanah milik kerajaan.

Kata Hannah, pihaknya difahamkan tempoh penangguhan selama 30 hari telah diberikan oleh PTGWP kepada pengusaha terbabit untuk memindahkan barangan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast