Anak kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin, Muhammad Faisal Hamzah selepas dibicarakan atas pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 04 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen yang sedang mendengar kes rasuah melibatkan anak Ketua Pembangkang, Rozina Ayob dimaklumkan akan berpindah bermula 15 Ogos depan.

Susulan daripada itu, mahkamah dimaklumkan kes itu akan mula didengar oleh hakim yang baharu pada sebutan kes 29 Ogos ini.

Ketika ini, anak kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin iaitu Muhammad Faisal Hamzah sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah RM100,000.

Ketika prosiding sebutan kes, peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Muhammad Faisal berkata, pihak pembelaan telah melengkapkan senarai peguam yang dilantik.

Jun lepas, Muhammad Faisal mengaku tidak salah telah menerima wang RM100,000 daripada Izmir Abd Hamid sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.

Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.

Jika sabit salah yang mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, OKT boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000.

Ketika itu, Rozina membenarkan Faisal dibebaskan dengan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebelum ini, pada April tahun lepas, Muhammad Faisal mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast