Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kekecewaan golongan peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung isu pemilikan ladang akan menjadi faktor penolakan besar-besaran terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain peneroka, golongan muda iaitu generasi kedua peneroka juga akan bangkit menolak BN kerana isu terbabit.

Jelas beliau, isu kekecewaan peneroka dan generasi kedua itu merupakan faktor besar pada PRK Nenggiri ketika ini, namun jarang disentuh.

“Dasar Kesedar dan Felda yang menjadi land lord (tuan punya tanah) manakala peneroka berpuluh tahun dianggap pekerja tanpa ada pemilikan terhadap ladang yang mereka usahakan sekian lama.

“Pengundi DUN Nenggiri terutama anak muda berkemungkinan menunjukkan protes besar-besaran dengan mengalahkan calon UMNO-BN yang selama ini bertanggungjawab terhadap dasar Kesedar, Felda, Felcra, Risda dan Jakoa,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata, jentera PN pada PRK Nenggiri komited berkempen walaupun kekurangan dana dan sumber kewangan.

Katanya, jentera PN tidak memperalatkan dan memaksa pegawai kerajaan atau agensinya untuk berkempen pada PRK tersebut.

Ujar beliau, calon PN, Mohd. Rizwadi Ismail juga akan terus berusaha keras bertemu pengundi dan merayu undi.

“Bagi Perikatan Nasional dan calonnya Mohd. Rizwadi Ismail, mereka akan terus bersama rakyat mengharungi kepahitan hidup rakyat Nenggiri dengan kos sara hidup yang tinggi, hak dan masa depan yang tidak menentu serta politik UMNO, (Datuk Seri Dr. Ahmad) Zahid Hamidi yang merugikan ummah.

“Insya-Allah orang Nenggiri terutama anak muda tidak akan terpedaya dengan tipu daya dan mata benda.

“Mereka berjuang dan membela kebenaran,” tulisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast