KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih tegas dan menyeluruh dalam ‘menerobos’ semua agensi badan berkanun bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran tata kelola.
Menurut Perdana Menteri, ketegasan itu supaya agensi badan berkanun khususnya yang ditubuhkan untuk membantu rakyat miskin benar-benar memainkan peranan dan mencapai objektif penubuhannya.
Ujar beliau, pelanggaran tata kelola di agensi badan berkanun itu bukan sahaja membabitkan gejala rasuah tetapi juga melibatkan amalan pembaziran di luar kawalan.
Perdana Menteri mengambil contoh terdapat badan berkanun yang mewujudkan sehingga 79 anak syarikat yang sebahagian besarnya tidak ada kena-mengena dengan objektif asal penubuhannya.
Lebih malang, ujar Anwar, lebih separuh daripada anak syarikat yang ditubuhkan itu mengalami kerugian tahun demi tahun namun ahli lembaga pengarahnya tetap menikmati gaji dan elaun setiap bulan.
“Saya bingung kenapa hal ini boleh berlaku, untuk menyatakan ini kerana ahli lembaga pengarah badan berkanun itu ialah ahli politik tidak benar, yang profesional pun sama juga.
“Ini bukan kerana orang politik atau profesional atau penjawat awam, ini kerana kerana ada dalam kalangan mereka yang langgar tata kelola,” katanya.
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut meminta badan-badan berkanun meneliti dan menilai semula peranan masing-masing supaya aspek kecekapan dan pengurusan dapat ditingkatkan serta ditambah baik.
Tegas beliau, badan-badan berkanun perlu memastikan peruntukan besar yang diberikan kerajaan kepada mereka untuk membantu golongan sasaran memberikan pulangan yang setimpal.
Jelasnya, meskipun ada pihak yang mencadangkan supaya bantuan kepada rakyat diberikan terus tanpa melalui badan-badan berkanun berkaitan, namun beliau beranggapan cadangan tersebut terlalu radikal untuk dilaksanakan.
“Saya masih yakin melalui agensi badan-badan berkanun, kitau berupaya membawa perubahan dan melakukan lonjakan yang sepatutnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette