Polis merampas batang paip saluran elektrik milik TNB sekitar Johor Bahru dan Kulai yang dicuri Rabu lalu.

JOHOR BAHRU – Polis menahan empat lelaki kerana mencuri dan melarikan 335 batang paip di Jalan Dato Onn di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua lelaki tempatan berusia 33 hingga 57 tahun itu ditahan dalam enam serbuan di beberapa lokasi berasingan di daerah ini dan Kulai.

“Serbuan dilakukan selepas menerima laporan pengurus projek sebuah syarikat telekomunikasi mengenai kecurian batang paip saluran kabel elektrik berkenaan yang dianggarkan bernilai RM234,000.

“Bertindak atas maklumat pengadu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Johor Bahru Selatan membuat enam serbuan di sini dan Kulai sebelum berjaya menahan empat suspek.

“Kesemua suspek kemudian menunjukkan lokasi batang paip saluran elektrik yang dicuri itu disimpan sebelum menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Indahpura, Kulai,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas sebanyak 228 batang paip saluran elektrik milik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam serbuan itu, katanya, polis berjaya merampas sebanyak 228 batang paip saluran elektrik milik syarikat telekomunikasi.

Turut dirampas adalah sebuah treler membabitkan kunci dan alat kawalan jauh selain kunci kilang bagi menyembunyikan batang paip berkenaan, katanya.

Menurut Raub, kesemua suspek kini ditahan reman empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif dadah,” katanya.- MalaysiaGazette