Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 76 warga negara asing dalam serbuan melibatkan 31 premis dan rumah pekerja asing di tiga daerah menerusi beberapa operasi pada Selasa dan Rabu lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah menahan 76 warga negara asing dalam serbuan melibatkan 31 premis dan rumah pekerja asing di tiga daerah dalam operasi pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, dalam Ops Sapu yang dilakukan di Mersing, lima buah premis termasuk rumah pekerja diperiksa dan lapan lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 54 tahun ditahan.

“Menerusi Ops Bersama, Ops Mahir dan Ops Sapu di Muar pula, pemeriksaan dilakukan di sembilan premis dan berjaya menahan empat lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar dan dua serta tiga wanita Indonesia.

“Sementara serbuan sekitar di Johor Bahru melibatkan Ops Mahir, Ops Belanja, Ops Sapu dan Oos Selera, 17 premis diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan melibatkan 17 lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia, empat lelaki Myanmar, 25 lelaki dan seorang wanita India, seorang lelaki Pakistan serta seorang lelaki Sri Lanka.

Beliau memberitahu, semua mereka berusia 20 hingga 54 tahun.

Jelasnya, mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Katanya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa.

“Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujar beliau.

Mohd Rusdi berkata, operasi yang dijalankan adalah tindakan penguatkuasaan yang diambil susulan daripada aduan dan maklumat awam diterima pihaknya yang menyatakan terdapat warga asing bekerja tanpa pas yang sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di Malaysia.

“Kita akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri ini dan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette