Mohammad Shatar Sabran.- Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2021.

SEPANG – Semua institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran menyediakan Kenyataan Kelayakan Malaysia (MQS) sebagai tambahan kepada transkrip yang diberikan kepada graduan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, transkrip sedia ada hanya mengandungi maklumat mengenai nama program, subjek dan jam kredit.

MQS pula merupakan dokumen yang menerangkan kelayakan graduan termasuk hasil pembelajaran dan tahap kelayakan berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Beliau berkata, dengan adanya MQS, majikan akan mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai graduan yang hadir ke sesi temu duga seterusnya dapat menilai sama ada seseorang itu sesuai atau tidak untuk bekerja dengan institusi mereka.

Katanya, inisiatif itu sudah dijalankan di kebanyakan negara di Eropah dan Kanada dengan panggilan Diploma Supplement, Australia (Graduate Statement), dan New Zealand (Tertiary Education Achievement Report) bagi menerangkan kelayakan dan pengalaman seseorang dalam konteks profesional.

“Konsep yang sama juga dilaksanakan di negara rantau Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Singapura selain Malaysia.

“Pelaksanaan penyediaan MQS ini akan meningkatkan daya saing dalam kalangan graduan IPT tempatan dan meningkatkan peratusan kebolehpasaran graduan, memudahcara pengiktirafan dan mobiliti antarabangsa” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, kesediaan IPT tempatan menyediakan MQS akan meningkatkan imej pendidikan tinggi negara.

Ini kerana dalam era globalisasi, IPT perlu kreatif dan inovatif dalam usaha memasarkan graduan IPT tempatan ke pasaran kerja global, pada masa sama sentiasa menunjukkan Malaysia terkehadapan dalam konteks pendidikan tinggi.

Secara langsung atau tidak langsung, katanya, inovasi itu akan mampu menarik pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

“Inisiatif ini juga akan membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya.

Garis panduan MQS ini boleh dimuat turun dari portal MQA di pautan https://www2.mqa.gov.my/qad/v2/garispanduan/GGP-Malaysia%20Qualification%20Statement.pdf yang mana dokumen tersebut menyediakan panduan kepada IPT dalam mengeluarkan MQS untuk graduan mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast