Seramai 78 warga asing yang bekerja tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial ditahan dalam serbuan di dua kilang peranti elektronik di daerah ini semalam.

JOHOR BAHRU – Seramai 78 warga asing yang bekerja tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial ditahan dalam serbuan di dua kilang peranti elektronik di daerah ini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan berkenaan dilakukan dalam Ops Mahir membabitkan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.

“Dalam operasi tersebut seramai 187 warga asing dan tempatan diperiksa. Seramai 78 daripada mereka telah ditahan. Hasil pemeriksaan dan operasi tersebut mendapati terdapat warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada 68 warga Myanmar, enam lelaki dan dua wanita China, seorang lelaki Nepal dan seorang wanita Indonesia, mereka berusia antara 19 dan 58 tahun.

Turut ditahan katanya, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang merupakan pengurus di kilang tersebut.

Mohd Rusdi menjelaskan, mereka melakukan kesalahan bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sposial (PLS).

Mereka juga, katanya, ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Mereka turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia selain Seksyen 15(1)(c) dan 15(1)(d) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Tambah beliau, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan adalah tindakan penguatkuasaan yang diambil susulan daripada aduan dan maklumat awam diterima pihaknya yang menyatakan terdapat warga asing bekerja tanpa pas yang sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di Malaysia.-
MalaysiaGazette