Dr Kamal Nasharuddin (kiri) dan Rozi (kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Kempen MyCARE Education Fund dalam program Hi Tea Education For All di Impiana Hotel, Senai, Kulai, hari ini.

KULAI – Humanitarian Cara Malaysia (MyCARE) sudah menyalurkan bantuan RM10.4 juta untuk penduduk Gaza di Palestin sejak 7 Oktober 2023 hingga 7 Julai lalu.

Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, sumbangan rakyat Malaysia menerusi tabung khas yang diwujudkan itu disalurkan kepada lebih 200,000 penduduk Gaza yang tinggal di kem-kem pelarian di Palestin.

“Ini adalah sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib pelarian Palestin. Terdapat 2.3 juta penduduk Gaza dan 80 peratus daripadanya berada di kem pelarian.

“Sumbangan ini kita berikan dalam bentuk perubatan dengan membeli ubat-batan selain bantuan makanan termasuk gandum.

“Kita juga beri bantuan khemah dan pakaian. Ini bantuan yang kita berikan dalam tempoh sembilan bulan pertama ini sejak 7 Oktober tahun lalu. Ini merupakan fasa pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Hi Tea Education For All di Impiana Hotel, Senai, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Operasi MyCARE, Roha Hassan, Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam.

Dr Kamal berkata, fasa kedua bantuan bermula 8 Julai lalu yang menyasarkan kutipan RM10 juta kerana penduduk Gaza masih memerlukan bantuan.

Jelasnya, antara yang paling mendesak adalah bantuan ubat-batan kerana klinik dan hospital di Palestin sudah musnah dibom rejim zionis sejak perang tercetus.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia akan terus menyumbang dalam membantu penduduk Gaza yang kini hidup dalam serba kekurangan.

Bagi orang ramai yang ingin menghulur bantuan berbuat demikian menerusi akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad iaitu Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299 dan hantar slip ke WhatsApp +6018-9677215 (Saadon); +6019-7342539 (Dr Zin) +6019-7458517 (Rozi).- MalaysiaGazette