Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Johor Bahru, baru-baru ini

MINGGU lalu mesyuarat perwakilan UMNO di Johor melabuhkan tirainya dengan yang terakhir di Kulai.

Semua 26 bahagian UMNO selesai mengadakan mesyuarat perwakilan menyaksikan usul-usul diketengahkan adalah satu ketumbukan yang menyerlahkan suara dan kehendak akar umbi.

Lantang, keras, panas dan melawan arus malah terkeluar daripada budaya serta normalisasi parti. Itu antara sinergi daripada usul-usul dibawakan namun situasi terkawal, tiada yang emosional dan masih di bawah tatakelola mesyuarat.

Mesyuarat perwakilan bahagian kali ini dibuat dalam keadaan berhati-hati kerana UMNO bukan lagi seperti dahulu.

Ini kerana parti itu ketika ini menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)-satu kordinasi politik di peringkat negeri dan perlu menghormati semangat kerjasama.

Walupun begitu, permulaan mesyuarat perwakilan bahagian di negeri ini dikejutkan dengan ucapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam yang mahu UMNO merampas semula kerusi Parlimen Sri Gading daripada PH.

Kenyataan secara terbuka itu segera mengundang kontroversi apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyifatkan kenyataan tersebut sebagai kurang cermat, seolah-olah mempunyai agenda dan bertentangan dengan semangat kerjasama serta keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

Situasi itu mula menunjukkan alur retak melibatkan hubungan UMNO dan PH namun cepat dingin apabila tiada pihak yang mengapi-apikan isu tersebut.

Namun ucapan Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam perlu dipuji apabila berterus terang semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai kerana ‘tidak mendongak ke langit’ dan bukan retorikal politik murahan.

“Kita berharap pemimpin dan ahli UMNO daripada pelbagai peringkat sedar dengan realiti semasa ketika ini iaitu majoriti masyarakat Melayu tidak lagi melihat UMNO sebagai parti politik pilihan mereka.

“Realitinya majoriti orang Melayu tidak lagi melihat kita sebagai pejuang mereka. Lebih cepat kita sedar perkara ini lebih cepat kita dapat buat perubahan, jadi seharusnya kita berpijak di bumi nyata,” ujarnya yang juga Menteri Besar Johor.

Selain itu, antara signal menarik yang dihantar perwakilan Johor adalah menerusi UMNO Bahagian Tenggara mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji semula hubungan dengan PH terutama DAP dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba, langkah tersebut penting dilihat semula untuk kelangsungan politik parti berkenaan terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Selain itu, UMNO Tenggara meminta agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sebelum ini dipertandingkan semula pada pemilihan akan datang pada 2026.

Begitu juga Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara sebulat suara mahu parti itu menunaikan janji untuk membebaskan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan.

Alasannya kerana banyak jasa bekas Perdana Menteri itu kepada negara.

Tiga usul UMNO Bahagian Tenggara seakan satu teriakan suara dan pancaran isi hati nurani perwakilan yang sekian lama terpendam.

Menariknya tiga usul berkenaan disuarakan depan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yagn merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian itu.

Ada yang berpendapat, usul berkenaan tidak wajar disuarakan secara terbuka kerana dianggap sensitif dan UMNO Pusat pula akan bersifat selektif apabila meneliti setiap usul yang diutarakan pihak perwakilan.

Bagi UMNO Bahagian Kluang pula, usul perwakilan adalah mahu kerjasama UMNO dengan DAP diputuskan kerana pada dasarnya tidak banyak memberikan manfaat kepada UMNO serta BN malah dilihat merugikan kepada parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

“Malah kerjasama ini hanya menjadi ‘duri dalam daging’ apabila sering melakukan desakan terhadap perkara yang mengguris perasaan orang Melayu,” ujar Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.

UMNO bahagian berkenaan juga mahu parti itu bergerak solo bersama-sama komponen BN iaitu MCA dan MIC untuk menghadapi PRU-16 bertujuan mendapatkan semula sokongan serta undi lebih banyak daripada orang Melayu.

“Kita juga mencadangkan agar UMNO negeri, bahagian dan cawangan diberikan mandat menentukan sendiri strategi kemenangan mengikut kesesuaian adat dan budaya di kawasan masing-masing namun tetap mendengar nasihat serta panduan UMNO Pusat,” katanya.

Boleh dilihat mesej yang dihantar perwakilan UMNO bahagian itu mencerminkan juga suara akar umbi di negeri lain kerana perkara sama pernah dibangkitkan.

Mesyuarat perwakilan bahagian di negeri ini juga diambil kesempatan pemimpin tertinggi UMNO yang menjadi undangan merasmikan mesyuarat tersebut memberi pencerahan isu-isu semasa kepada perwakilan terutama penglibatan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Misalnya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang mendakwa parti itu menyelamatkan keadaan selepas PRU-15 apabila 30 kerusi BN dan 82 kerusi milik PH bergabung membentuk majoriti mudah menubuhkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu memberikan hujah tipikal tetapi meniup semangat ahli parti apabila menyatakan UMNO dan BN menyasarkan untuk menang lebih 60 kerusi Parlimen dalam PRU-16 nanti yang disambut gemuruh oleh perwakilan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pontian berkata, kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya terus dipertikaikan termasuk oleh ahli-ahli UMNO kerana merupakan satu jajaran strategik politik bagi tempoh lima tahun ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata;”Perkara ini perlu difahami oleh semua ahli-ahli UMNO supaya tiada lagi timbul desakan daripada mana-mana pihak untuk UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan.”

Semua usul yang diketengahkan bahagian itu akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Minggu depan MKT akan meneliti semua usul diketengahkan 189 bahagian parti itu seluruh negara yang bermesyuarat sejak bulan lalu.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul tersebut akan memperhalusi semua usul dikemukakan. Usul-usul yang dibangkitkan semua bahagian akan diperhalusi semuanya sebelum membawa usul berkepentingan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 20 Ogos ini.

Penulis melihat terdapat usul yang seperti bom jangka dan boleh meledak malah mampu menggoncang PAU sekiranya ia berani dibincangkan.

Adalah penting untuk MKT UMNO cakna dengan apa yang disuarakan perwakilan dan menterjemahkan hasrat ahli parti. Suara akar umbi tidak boleh diabaikan kerana boleh mengundang padah.

Contohnya protes terhadap calon parti semasa pilihan raya, boikot, bertindak keluar parti dan sebagainya.

Apa yang diketengahkan dalam usul-usul wajar diteliti bagi menghormarti ahli peringkat bawahan walaupun kelihatan akar umbi tidak selari dengan kemahuan kepimpinan tertinggi parti seolah-olah ‘tenang di permukaan tetapi bergejolak di dasar’.

Semua keputusan PAU dan pemilihan parti pada 2026 amat penting dalam menentukan hala tuju parti sebelum bertanding dalam PRU16.- MalaysiaGazette