Tertuduh, Ozey Binau, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan mabuk ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua pelajar sekolah, Selasa lalu.

MELAKA – Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mabuk ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan dua pelajar sekolah pada Selasa lalu.

Tertuduh, Ozey Binau, 25, yang berasal dari Sabah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu motokar MBY4607 didapati kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 127mg per 100 ml melebihi tahap yang dibenarkan 50mg per 100 ml darah iaitu lebih 122 mg.

Keadaan itu seterusnya menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada penunggang serta pembonceng motosikal MDQ 3786 iaitu Nurhannani Iffah Rosman, 17, dan Hasya Nur Amira Mohd Hader, 17.

Kesalahan itu dilakukan di lampu isyarat Cheng Height dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 4 petang 6 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Seksyen sama memperuntukkan tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang tujuh tahun daripada tarikh sabitan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pekerja pasar raya dengan pendapatan bulanan RM2,000, masih bujang dan hanya dua daripada tujuh beradiknya bekerja.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan tarikh 12 September ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan dua pelajar sebuah sekolah menengah di Cheng cedera selepas dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat Cheng Height, di sini.

Dalam kejadian pukul 4 petang, kedua-dua mangsa berusia 17 tahun yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz mengalami luka di dahi, kaki dan tangan.

Pemandu Perodua Alza berusia 25 tahun terbabit bagaimanapun terus melarikan diri sebelum dikejar orang awam dan berjaya menahannya di sebuah kedai roti canai di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Bachang. – MalaysiaGazette