Seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti ditahan kerana cuai sehingga terlepas tembakan ketika bertugas di Hospital Alor Gajah, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH – Polis menahan seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti kerana cuai sehingga terlepas tembakan ketika bertugas di Hospital Alor Gajah di sini petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 5.30 petang di Pejabat Unit Hasil hospital berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa kerana tiada kakitangan lain ketika itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek lelaki berusia 56 tahun ditahan semalam selepas pihak hospital membuat laporan dan permohonan reman akan dibuat pagi ini.

Superintendan Ashari Abu Samah

“Polis menerima maklumat kejadian daripada ketua pengawal keselamatan Hospital Alor Gajah memaklumkan senjata api jenis
shot-gun Winchester digunakan suspek telah terjatuh dan meletup sehingga terkena meja kaunter.

“Ketika kejadian, suspek bertugas seorang diri di dalam pejabat dan tiada pekerja lain,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Tambah Ashari, siasatan awal mendapati, semasa kejadian lelaki itu sedang duduk di kerusi manakala senjata api yang dibekalkan syarikat diletakkan di atas meja hadapannya dalam keadaan kunci keselamatan tidak dipasang.

“Semasa suspek berdiri dari kerusi, paha kanannya terkena bahagian butt senjata api lalu jatuh terhentak ke lantai mengakibatkan satu das tembakan terlepas ke bahagian bawah meja kaunter pejabat,” katanya.

Ashari berkata, lelaki itu kemudian menghubungi ketua pengawal keselamatan hospital yang segera melaporkannya kepada pengadu iaitu ketua operasi syarikat sekuriti berkenaan.

“Selepas pihak hospital dan syarikat melakukan siasatan dalaman, satu laporan polis dibuat pukul 6.20 petang semalam atas kecuaian suspek ketika mengendalikan senjata api.

“Siasatan tempat kejadian oleh Cawangan D10 (Forensik), Jabatan Siastan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tidak memperolehi sebarang penemuan kerana telah dibersihkan dan pejabat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, suspek telah bekerja di situ sejak kira-kira dua tahun lalu dan mendapat lesen penggunaan senjata api sejak 2023.

Polis turut merampas semua barang kes dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast