Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Mekanisme pembayaran balik secara tunai dilanjutkan sehingga bulan ini kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang masih belum menerima fleet card.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan hanya dibuka kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 pada atau sebelum 30 Jun lalu.

“Lanjutan ini membolehkan pemohon yang layak untuk membuat tuntutan bagi penggunaan diesel dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2024 (sebelum ini sehingga Julai 2024 sahaja).

“Atau sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum tiga bulan sahaja, mana-mana terdahulu. Hari terakhir untuk mengemukakan tuntutan juga telah dilanjutkan kepada 15 September 2024,” katanya dalam kenyataan.

Pemilik kenderaan logistik yang layak boleh mula mengemukakan tuntutan bulan Ogos 2024 mulai 12 Ogos ini.

Pelanjutan pembayaran tunai memberi masa yang secukupnya kepada syarikat-syarikat logistik berkelayakan untuk menerima fleet card dan tidak menghadapi sebarang kesulitan menerima subsidi bersasar.

“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini berjalan dengan lancar, dan ini termasuklah memastikan semua yang berkelayakan dapat memanfaatkan bantuan ini sepenuhnya, untuk mengurangkan impak kepada rakyat,” tambah beliau.

Mekanisme tersebut merupakan pemudahcara sementara bagi membolehkan pembayaran semula secara tunai bagi menampung perbezaan antara harga runcit diesel dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Pemilik kenderaan logistik yang layak boleh memohon untuk mendapat pembayaran balik tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

Pemohon yang layak akan diberi bayaran balik secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel pada tarikh pembelian berbanding harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun dengan had liter tertentu setiap kenderaan bagi setiap bulan. – MalaysiaGazette