Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang ramai ketika hadir makan tengahari sebelum menunaikan solat Jumaat di Kompleks Makan Tanglin, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 9 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan sebanyak RM16 bilion untuk Sabah yang diumumkannya baru-baru ini untuk tujuan keseluruhan pengurusan dan pembangunan. 

Bagaimanapun beliau terbuka untuk sebarang perbincangan sekiranya negeri berkenaan memerlukan peruntukan tambahan.

“(Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee ini) mantan menteri, Timbalan Speaker, bacalah, apa yang tak fahamnya, peruntukan pengurusan, pengurusan seluruhnya RM16 bilion, saya dah baca teliti, jangan politik perkara itu, kalau nak lagi, bincang secara elok, saya dah terangkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjaja Tanglin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ronald yang menyifatkan kenyataan Anwar mengelirukan rakyat tentang peruntukan kerajaan Persekutuan kepada Sabah.

Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Perdana Menteri gagal mengambil kira hak Sabah untuk mendapatkan peruntukan tambahan 40 peratus daripada hasil persekutuan dan cukai.

Jelasnya, tambahan itu dianggarkan mencecah kira-kira RM4 bilion.

Sementara itu, Anwar menyelar semula Ronald dengan berkata, isu tersebut tidak patut dipolitikkan.

“Kita boleh beri tapi nak jadi champion, dulu tidak pula, oleh kerana dekat PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah main sentimen tu , jadi macamana orang Johor rasa, Sarawak rasa, Kelantan rasa, jadi kongsi lah secara adil. Ada peruntukannya (masing-masing). Kita bantu.

“Dalam politik tak apa tapi mencerca itu tak betul, tipu kenyataan, ini politik apa,” tambahnya.

Kata Anwar lagi, Bersatu gagal menangani pelbagai isu di negeri berkenaan  termasuklah Perjanjian Malaysia 1963.

“Jangan jadi politik picisan, meraih padahal masa ada kuasa dulu kamu diam, ikut dahaja.  Mana dia MA63 masa kamu berkuasa? Sekarang kita bincang, laksanakan sebanyaknya , kuasa, tenaga, pendidikan, kesihatan , tambahan peruntukan, semua sekarang . saya nak tanya masa dia berkuasa dia buat apa?” soalnya.

Pada 4 Ogos lalu, Anwar berkata, peruntukan RM16 billion untuk Sabah ialah peruntukan keseluruhan untuk negeri itu bagi tahun ini, – MalaysiaGazette