Saifuddin.

KEPALA BATAS – Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan hal-hal berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada ketetapan dibuat daripada segi parti yang akan bertanding di kawasan itu setakat ini.

Jelasnya, meskipun ada desakan pihak tertentu berhubung parti mana yang akan bertanding, beliau menegaskan, perkara itu seharusnya diuruskan menerusi mekanisme dalaman bukan secara terbuka.

“Satu mesyuarat akan diadakan bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 4 petang ini di Putrajaya bagi membincangkan mengenai kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

“Daripada perbincangan itu, barulah kami akan angkat satu ketetapan itu proses dia. Biasanya dia tak berlaku dengan mana-mana pimpinan peringkat bawahan memberikan pandangan secara terbuka sebaliknya itu diurus melalui mekanisme dalaman.

“Kami (komponen parti PH) akan adakan pertemuan pada 4 petang ini walaupun belum jelas apakah isu ini akan dibincang tapi saya yakin perkara ni boleh kita angkat dengan menggunakan saluran parti,” katanya ketika diminta mengulas pendirian PH susulan Amanah  Kluang, Johor mahu parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota.

Terdahulu, Saifuddin hadir Majlis Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri di Dewan Millenium di sini hari ini.

Kerusi DUN Mahkota dikosongkan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarhamah Datuk  Syarifah Azizah Syed Zain daripada UMNO.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti 5,166 undi. – MalaysiaGazette