Warga asing yang ditahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah kelab malam di sekitar Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang menyajikan layanan VIP di Jalan Sultan Ismail di ibu negara digempur oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Dalam serbuan Ops Gegar sekitar 2.30 pagi itu dijalankan  sepasukan pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Difahamkan, pusat hiburan itu menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan elit’dengan menawarkan bilik karaoke super VIP’ pelbagai saiz antara RM10,000 hingga RM16,000 bagi setiap sesi.

Warga asing yang ditahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah kelab malam di sekitar Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

Bukan itu sahaja, bilik VIP itu hanya dikhaskan untuk pengunjung tetap selain dilengkapi dengan layanan wanita warga asing sebagai teman menyanyi dan minum bersama.

Pelanggan yang ingin menjadi ‘ahli tetap’ di pusat hiburan itu  dikatakan perlu mempunyai simpanan lebih RM100,000 dalam akaun bank sebelum diterima masuk.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff . Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

Menurut Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan mengejut dijalankan berikutan aduan mengenai aktiviti meragukan di premis tersebut.

Dalam serbuan itu, 50 individu termasuk pekerja dan pelanggan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita ditahan.

Kesemuanya yang ditahan terdiri daripada 17 orang warga China termasuk lapan wanita, Bangladesh (5), Pakistan (3), dan seorang wanita warga Kazakhstan.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun. Antara kesalahan yang dikesan adalah penyalahgunaan pas pelawat dan tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya di lokasi operasi pagi tadi.

Warga asing yang ditahan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah kelab malam di sekitar Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 09 OGOS 2024

Tambah beliau, kesemua wanita yang ditahan disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) manakala lelaki merupakan pekerja di premis terbabit.

Katanya lagi, PATI yang ditangkap akan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette