Seorang wanita maut selepas tercampak di atas jalan raya akibat digilis bas dalam kemalangan di MRR2. Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Gagal mengawal motosikal yang ditunggang untuk elak kenderaan, seorang wanita maut selepas digilis bas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kampung Pasir menghala Gombak, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala manakala suaminya pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, insiden itu membabitkan sebuah motosikal dan sebuah bas.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun dan suaminya, 28 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di Gombak.

“Setibanya di tempat kejadian, suami mangsa gagal mengawal motosikal itu untuk mengelak kenderaan di hadapannya sebelum terjatuh atas jalan raya.

“Akibat kejadian itu menyebabkan pembonceng yang juga isterinya tercampak dan digilis sebuah bas yang melalui jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Motosikal yang dinaiki sepasang suami isteri dalam kemalagan di MRR2 pagi tadi. Foto Ihsan PDRM.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

“Orang ramai boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” jelasnya. – MalaysiaGazette