Tiga beranak maut dalam kebakaran di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, awal pagi tadi.

MUAR – Sepasang suami isteri warga emas dan seorang cucunya maut dalam kebakaran di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, isterinya, Ara Abdul Hamid, 76, rentung di tempat kejadian dan Noradriana Nor Hisyam, 11, difahamkan meninggal dunia di hospital.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.25 pagi.

“Susulan itu seramai 21 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila sampai kebakaran itu melibatkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 3.7X5.5 meter terbakar 85 peratus.

“Warga emas lelaki dan wanita ditemukan rentung pada pukul 2.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan, operasi tamat pada pukul 4.24 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhlis Aziz berkata, seorang lagi penghuni yang juga cucu kepada mangsa berkenaan, Norazima Mohd Radhi, 14, dilaporkan cedera di kepala dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Kesemua mayat mangsa kini telah dihantar Unit Forensik HPSF untuk bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast