KUALA LUMPUR – Keputusan Tesla membatalkan rancangan membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) di rantau Asia Tenggara kerana mengalami kerugian besar selepas tidak mampu bersaing dengan syarikat EV dari China, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu seperti yang dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut.
“Tengku Zafrul sudah dapat maklumat terkini kerana mereka (Tesla) mengalami kerugian yang besar kerana tidak dapat bersaing dengan syarikat EV dari negara China.
“Operasi mereka di Thailand lebih besar, kita baru nak mula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand, malah juga di peringkat dunia.
“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor portal berita itu.
Menjelaskan berkenaan perkara itu, Tengku Zafrul menerusi laman sosial X beliau malam tadi berkata, Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.
Bagaimanapun, kata beliau, MITI ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.
Pada Mac 2023, Tesla mengumumkan rancangan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.
Ia selepas MITI meluluskan permohonan Tesla untuk mengeksport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia. – MalaysiaGazette