KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Britain, Adele memberi bayangan sudah bertunang dengan ejen sukan dari Amerika Syarikat (AS), Rich Paul, selepas dilapor menyulam cinta sejak tiga tahun lalu.

Terdahulu, penyanyi ‘Hello’ itu memberi reaksi spontan kepada peminatnya yang mengangkat sepanduk “Sudikah anda kahwin dengan saya?” sewaktu konsert solonya di Munich baru-baru ini.

Adele kemudian menjawab, beliau tidak boleh menerima ‘pelawaan’ tersebut kerana bakal berkahwin.

“Saya tidak boleh berkahwin dengan anda kerana saya akan berkahwin. Jadi, saya tidak boleh. Tetapi saya cukup menghargainya, terima kasih,” katanya.

Adele sebelum ini  dilapor menjalin hubungan dengan Paul yang juga pengasas syarikat pengurusan, Klutch Sports Group yang mewakili bintang bola keranjang terkenal seperti LeBron James, Anthony Davis dan John Wall.

Gosip hubungan cinta Adele dan Paul selepas mereka bergambar pada sesi perlawanan akhir NBA pada 2021.

Beberapa bulan kemudian, Adele dan Paul mengesahkan hubungan mereka di Instagram (IG).

Penyanyi yang terkenal dengan lagu berjudul Someone Like You itu kini mementaskan 10 konsert di Jerman di sebuah arena yang mampu menampung 80,000 orang setiap malam.- MalaysiaGazette