Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO menasihatkan Datuk Seri Annuar Musa agar jangan mendahului pemimpin Pas dalam isu kafir harbi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mempersoalkan tindakan Annuar yang menjawab isu tersebut.

Soal beliau, sejak bila Annuar jadi ahli fatwa Pas.

“Baru masuk Pas sudah jadi ahli fatwa dan jurucakap Pas? Elok Pas hati hati. Jangan biar Annuar Musa memandai.

“Jawapan Annuar pula nampak main politik. Mulanya Annuar kata ahli Pas itu terlepas cakap. Ayat dia tak salah, boleh betul lagi.

“Kemudian Annuar kata itu pendapat individu. Dia cakap kaşar macam main kasar dalam hoki,” kata Puad yang mengulas jawapan Annuar berhubung isu berkenaan.

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit berkata, bab fatwa mana boleh pakai logik.

“Nasihat saya pada Annuar jangan mendahului pemimpin Pas. Nanti kena pecat macam UMNO pecat dia,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Puad mengingatkan Pas bahawa parti itu patut keluar fatwa apakah DAP tergolong sebagai “kafir harbi” yang halal darah mereka.

“Jangan biarkan ahli Pas sesuka hati keluar hukum. Kerana nak kenakan UMNO keluarlah fatwa politik songsang,” katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video seorang individu yang mempengerusikan majlis telah mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah ‘kafir harbi di Malaysia’.- MalaysiaGazette