Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan melaksanakan cukai ke atas makanan yang tidak sihat sebagai langkah membendung obesiti dan isu kesihatan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan rakyat Malaysia menghadapi krisis kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan lonjakan individu dengan berlebihan berat badan dan obes.

Katanya, cukai ke atas makanan ultra proses seperti mi segera, makanan ringan dan produk daging yang diproses juga perlu diperkenalkan.

“Kebimbangan utama ialah kesan produk makanan dan minuman ultra proses (UPF) terhadap penambahan berat badan serta risiko beberapa NCD seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kanser.

“Sejak beberapa dekad lalu, terdapat peralihan ketara daripada pengambilan makanan lengkap atau yang diproses secara minimum kepada UPF.

“Ia didorong oleh perubahan dalam sistem pembuatan serta pengedaran makanan, peningkatan pemasaran UPF, perubahan gaya hidup yang membawa kepada permintaan lebih tinggi bagi makanan mudah selain faktor ekonomi menjadikan UPF lebih berpatutan dan mudah diakses,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Mohideen, UPF yang paling popular dalam negara ialah mi segera, berikutan harga murah serta boleh didapati dalam pelbagai perisa dan bentuk selain dimasak dalam beberapa minit.

Katanya, berdasarkan laporan Persatuan Mi Segera Dunia (WINA), Malaysia menduduki tempat ke-13 dalam penggunaan mi segera global pada 2023, dengan sebanyak 1,640 juta hidangan.

“Analisis penilaian sejawat baharu oleh Imperial College Business School mendedahkan bahawa pelaksanaan cukai ke atas makanan yang tinggi kandungan lemak, garam atau gula (HFSS) termasuk UPF boleh mengurangkan penjualan, pembelian dan pengambilan makanan ini.

“Ia boleh membawa kepada kadar obesiti dan masalah kesihatan berkaitan diet lain lebih rendah terutama apabila digabungkan dengan subsidi bagi makanan yang lebih sihat.

“Penilaian itu merangkumi penemuan daripada 20 kajian di seluruh dunia termasuk Mexico, Amerika Syarikat, Kanada, Hungary, Denmark, Belanda, Singapura dan New Zealand yang menggariskan potensi global cukai ke atas makanan HFSS malah sehingga kini, sebanyak 16 negara sudah melaksana cukai itu,” katanya.

Sehubungan itu, CAP menggesa agar rancangan jangka panjang dibangunkan dan mencadangkan supaya cukai gula termasuk semua makanan tinggi gula, minuman manis dan minuman pracampuran dilanjutkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast