Salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam nahas di Cheras, pagi Sabtu

KUALA LUMPUR- Dua pelajar kolej maut selepas kereta yang dinaiki mereka dilanggar oleh seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Assisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku di Cheras, kira-kira 6.43 pagi tadi.

Menurut beliau, kereta yang dipandu individu berkenaan dipercayai terbabas sebelum memasuki jalan bertentangan dan melanggar empat buah kereta dan dua motosikal.

“Mangsa yang maut adalah penumpang salah sebuah kenderaan yang dilanggar, berumur lingkungan 22 tahun dan pelajar sebuah kolej.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu berkenaan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Mohd Zamzuri berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) untuk proses bedah siasat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette