KUALA LUMPUR – Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyelewengn minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis, Rabu lalu.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam serbuan dilakukan ke atas sebuah premis yang merupakan pemborong minyak diesel dan petrol.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati premis terbabit  menjual minyak diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Ketika serbuan, terdapat dua buah lori
pick up bernombor pendaftaran asing sedang mengisi 72 liter diesel ke dalam tangki melalui pam premis, katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu katanya, lori, telefon bimbit dan beberapa dokumen bernilai RM84,150 disita untuk siasatan lanjut.

Azman berkata, semua yang ditahan berumur di antara 40 hingga 70 tahun.

“Dua daripadanya merupakan warga tempatan berumur lingkungan 70-an yang mengaku sebagai pekerja di premis berkenaan, manakala selebihnya adalah warga asing berumur lingkungan 40 hingga 60 tahun yang merupakan pemandu lori terbabit,” ujarnya.

Tambahnya, selain itu premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di Bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen dan Peraturan 9(2) di bawah peraturan yang sama, iaitu pemborong menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen.

Mengulas lanjut beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.-MalaysiaGazette