Kesemua tangkapan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

GEORGE TOWN – Cubaan lima nelayan Indonesia untuk melarikan diri dengan membawa hasil tangkapan dalam negara berjumlah 150 kilogram (kg) gagal, selepas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, aset KM BURAU milik APMM yang sedang melaksanakan operasi mengesan bot berkenaan di perairan negara dalam keadaan mencurigakan.

Jelas beliau, susulan itu kapal penguat kuasa menghampiri bot nelayan asing terbabit sebelum mengarahkan mereka untuk berhenti bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun, mereka berkenaan enggan berbuat demikian sehingga berlaku aksi kejar mengejar hampir satu jam sebelum mereka berjaya ditahan di sekitar perairan 55 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi dekat sini.

Bot bersama 150 kilogram ikan yang disyaki hasil tangkapan perairan negara turut dirampas.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima kru termasuk tekong warganegara Indonesia mengendalikan bot terbabit beserta kira-kira 150 kilogram hasil tangkapan ikan.

“Bot tersebut juga didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran selain kesemua kru berumur 25 hingga 40 tahun itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Razali, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1986,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast