KUALA LUMPUR – Selebriti Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh diplih menjadi penyampai pingat bagi acara terjun tiga meter (m) papan anjal individu di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Yeoh, 61, yang juga Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memuat naik detik itu bersejarah itu diakaun Instagram (IG)nya.

“Penyampaian pingat Olimpik pertama saya kepada salah satu sukan kegemaran saya! Hebat! Tahniah kepada China dan Australia! Sangat layak,” tulisnya.

Acara final terjun tiga meter papan anjal individu menyaksikan penerjun dari China, Chen Yiwen memenangi pingat emas selepas mengumpul 376 mata.

Pingat perak menjadi milik penerjun Australia, Maddison Keeney dengan 343.10 mata manakala seorang lagi penerjun China, Chang Yani meraih gangsa dengan catatan 318.75 mata.

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri menamatkan acara berkenaan di tempat terakhir daripada 12 peserta dengan catatan 244.80 mata.

Terdahulu, penerima trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu dilihat aktif memberi sokongan dalam arena sukan.-MalaysiaGazette