Tangku Zafrul Aziz berucap di MITI Day di Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam.

KUALA LUMPUR – Pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Kampung Tebuk Mufrad, Sabak Bernam merupakan salah satu inisiatif penting Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti setempat.

Kampung Tebuk Mufrad telah diangkat sebagai Kampung Angkat Madani MITI sejak Februari 2024, hasil inisiatif yang diumumkan oleh perdana menteri dalam ucapan Belanjawan 2024 yang lalu.

Majlis Pecah Tanah Dewan Serba Guna Terbuka ini sempena penganjuran ‘Mini MITI Day’.

Dewan ini, yang akan dibina di atas tanah wakaf milik Masjid Tebuk Mufrad, dirancang sebagai pusat pelbagai fungsi yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk kampung dari segi sosial dan ekonomi.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena MITI Day di Kampung Tebuk Mufrad.

Ia ini bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat untuk aktiviti riadah dan sukan, dengan kemudahan seperti gelanggang futsal, bola tampar, badminton, sepak takraw dan bola keranjang, tetapi juga sebagai tempat berkumpul bagi majlis-majlis ilmu, acara komuniti, dan keraian.

Pembinaan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dengan menyediakan ruang yang selesa dan selamat untuk pelbagai aktiviti, seterusnya membantu memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.

Selain itu, kehadiran Dewan Serbaguna ini juga dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui sokongan kepada aktiviti inap desa dan penjualan produk tempatan.

MITI berkata, dengan kemudahan ini, Kampung Tebuk Mufrad dapat menarik lebih banyak pelancong dan peniaga, sekali gus meningkatkan daya saing kampung di peringkat nasional.

Pembinaan Dewan Serbaguna ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan Lembaga Wakaf Selangor.

Majlis yang diadakan ini turut mengambil semangat bulan kemerdekaan, dengan seruan agar seluruh penduduk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda taat setia kepada negara Malaysia. – MalaysiaGazette