KUALA LUMPUR – Seorang remaja yang ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi MalaysiaGazette.
“Kita akan bebaskan remaja itu dengan jaminan polis petang hari ini.
“Dalam pada itu, pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, gadis berusia 14 tahun itu direman selama dua hari bermula semalam selepas ditahan di lobi hospital berkenaan jam 9 pagi Khamis.
Dia ditahan ketika cuba mendaftar diri di kaunter untuk memasuki hospital berkenaan menggunakan identiti palsu.
Terdahulu, polis mengesahkan telah menerima laporan daripada kakitangan hospital pada Rabu berhubung tindakan seorang remaja yang memasuki dewan bedah serta mengaku sebagai pegawai perubatan yang mahu membantu pembedahan.
Dalam pada itu ibu suspek turut dipanggil polis ke IPD Sepang untuk dirakam keterangan. -MalaysiaGazette