Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Empat lelaki termasuk tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, semalam atas tuduhan berkaitan samun bersenjata di Semenyih bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, kesemua individu berkenaan didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api.

Tertuduh pertama dan kedua pula berdepan pertuduhan tambahan dan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan samun.

Bagi individu keempat yang merupakan orang awam, dia dituduh dengan pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana berada bersama tertuduh pertama dan kedua semasa melepaskan tembakan.

“Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah juga tidak membenarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Naazron, Ibu Pejabat Polis Kajang menerima maklumat berhubung satu rompakan di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir Semenyih pada 12.17 pagi, 31 Julai lalu.

Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Polis Daerah Kajang tidak akang melindungi mana-mana pegawai sama ada pegawai kanan atau pegawai rendah yang didapati terlibat dalam aktiviti jenayah.

“Kami akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” tambahnya lagi.

Media pada 1 Ogos lalu melaporkan, tiga anggota PGA ditahan kerana terlibat dalam samun bersenjata.-MalaysiaGazette