C. Sivarraajch
C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Pelawaan mengejut Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang mengalu-alukan supaya bekas ahli parti itu kembali ke pangkuan parti terbesar masyarakat India itu diberi reaksi positif oleh Datuk Sivaraj Chandran.

Nama bekas Naib Presiden MIC itu antara nama yang disebut oleh Vigneswaran kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIC Rabu lepas, selain mantan Ketua Bahagian MIC Puchong, Awtar Singh.

Vigneswaran ketika itu berkata, MIC tidak kisah untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli parti yang mahu kembali dan terus berjuang memperkasakan komuniti India di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini,  Sivaraj yang juga Ahli Dewan Negara berkata, beliau menghargai pelawaan Vigneswaran itu namun hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perjumpaan dengan Presiden MIC itu terlebih dahulu.

“Saya hargai kenyataan Presiden MIC yang mengalu-alukan kepulangan saya dan bekas-bekas ahli yang lain ke parti MIC kembali. Sebagai seseorang yang sentiasa meletakan kepentingan masyarakat dan parti, saya pastinya akan ambil langkah bijak dalam hal ini.

“Justeru itu, saya akan terlebih dahulu berjumpa dan berbincang secara mendalam sebelum sebarang keputusan muktamad.

“Keputusan yang perlu saya ambil ini dengan penuh pertimbangan demi memastikan ia selari dengan hasrat dan matlamat memperkukuhkan perpaduan serta kekuataan parti selain memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Untuk rekod, sejak menyertai MIC hampir 20 tahun lalu, Sivaraj memegang beberapa jawatan penting seperti Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Naib Presiden, calon pilihan raya, ahli Parlimen dan terkini Ahli Dewan Negara.

Pada tahun lalu, Sivaraj bertindak meletak jawatannya serta mengisytiharkan keluar parti itu kerana mendakwa tidak mampu lagi bertahan dengan pelbagai sekatan yang dilakukan MIC terhadapnya. -MalaysiaGazette

Tak tahan disekat, Sivaraj keluar MIC