pinjaman Felcra
Isu pinjaman Felcra Berhad dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2.

KUALA LUMPUR – Sehingga kini tiada sebarang penjualan kilang-kilang Felcra dan agensi tersebut masih kekal beroperasi seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif agensi itu, Datuk Idris Lasim berkata dalam masa yang sama tiada sebarang cadangan penjualan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah.

“Pengurusan Felcra Berhad turut menafikan sebarang dakwaan di media sosial yang mengaitkan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dengan penjualan kilang kepada mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, agensi berkenaan akan terus memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan kepentingan semua pihak sentiasa diutamakan

“Ini demi memperkukuhkan kedudukan Felcra Berhad dalam industri pengilangan hasil agrikomoditi seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan,” jelasnya.

Semalam, Jazlan menegaskan tidak pernah menjual kilang agensi berkenaan kepada mana-mana pihak termasuk bukan Bumiputera seperti didakwa.

Beliau menyifatkan dakwaan pihak yang dianggapnya daripada ‘askar upahan’ pihak pembangkang itu adalah fitnah yang amat besar terhadap dirinya.

Sebagai rekod, Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard mendesak Pengerusi Felcra membuat penjelasan berhubung penjualan kilang sawit yang merugikan agensi itu.

Beliau mendakwa, ia rentetan beberapa sumber sejak hampir sebulan lalu tampil berjumpa dengannya dan menyerahkan beberapa set dokumen berkenaan penjualan kilang Felcra.-MalaysiaGazette