LIPIS – UMNO amat memerlukan Datuk Seri Najib Razak dalam terus berjuang memartabatkan UMNO dan mendepani Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, semangat memperjuangkan pembebasan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak pernah terkubur bahkan ia diteruskan oleh Presidennya, Datuk Seri. Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Oleh itu, Wan Rosdy berharap agar semua ahli parti bersabar dan terus memberi sokongan kepada pucuk pimpinan untuk membantu Najib mendapatkan pembelaan sewajarnya berdasarkan undang-undang.
”Sebenarnya orang pertama di mahkamah ialah Datuk Seri Zahid yang tidak pernah jemu putus perjuangkan ’Bossku’.
”Kita berilah peluang kepada presiden untuk membuat sehabis baik. Kita perlu ’Bossku’ untuk penghadapi PRU akan datang tapi dalam masa yang sama ada halangan yang tidak boleh buat keputusan 100 peratus.
”Kita doa supaya ’Bossku’ dapat pembebasan dan tahanan di rumah. Dan jangan usik presiden, kita ada semangat Mat Kilau,” katanya ketika Majlis Mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Dewan Terbuka Laman Sejahtera di Sungai Koyan, Lipis hari ini yang dihadiri oleh 240 pewakilan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Presiden UMNO Datur Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri mantan Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Tegas Wan Rosdy, kunci penjara bukan terletak kepada timbalan perdana menteri seperti yang didakwa oleh segelintir pihak yang beranggapan isu berkenaan terlalu mudah.
Oleh itu, ahli-ahli parti perlu terus berjuang tanpa desakan kerana tindakan itu hanya menimbulkan tekanan yang boleh mengakibatkan nasib Najib tidak terbela nanti.
”Presiden dah berjuang habis-habisan untuk Bossku tetapi kunci membebaskan membuka pintu bukan di tangan Zahid, bukan di tangan kita.
”Percayalah usaha kita akan diteruskan, kita boleh merayu tapi kita tak boleh mendesak. Kalau mendesak ’belah sana’ sakit hati dan peluang kita langsung tak dapat,” katanya.
Pada Julai lalu, permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah ditolak Mahkamah Tinggi.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO dan Wan Rosdy Wan Ismail adalah dengar cakap. – MalaysiaGazette