Tiga penguat kuasa sebuah agensi di Sabah direman SPRMkerana disyaki terima rasuah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman tiga pegawai penguat kuasa sebuah jabatan di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Ogos 2024 terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan kira-kira jam 4 petang hingga 11 malam tadi dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Sabah di Pekan Keningau.

“Tangkapan terbaharu yang melibatkan dua lagi pegawai penguat kuasa adalah susulan daripada tangkapan seorang pegawai penguat kuasa sebelum ini berkaitan kes yang sama iaitu disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini (Ogos 2024),” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut  dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette