KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat kejutan menerusi konsert Siti Nurhaliza: Love Is In The Sky di Arena Of Stars Genting Highlands malam tadi dengan kemunculan anak sulungnya, Siti Aafiyah di atas pentas.
Sebelum itu, Aafiyah atau nama lengkapnya Siti Aafiyah Mohd. Khalid, 7, muncul ke pentas bersama adiknya, Muhammad Afwa mendapat sorakan serta tepukan gemuruh daripada penonton.
“Sebenarnya susah saya nak mengawal perasaan bila sepentas dengan Aafiyah. Puas nak pujuk dia.
“Semalam, masa raptai dia menangis selama setengah jam tetapi alhamdulillah, terima kasih Aafiyah. Terima kasih Afwa,” ujarnya sebelum memulakan persembahan dalam satu rakaman video yang viral di media sosial.
Sebelum ini, peminat sedia maklum Aafiyah boleh bermain piano dan keyboard kerana Siti pernah berkongsi video anaknya itu dalam media sosial sehingga ramai peminat yang menantikan persembahan mereka bersama. – MalaysiaGazette