Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyifatkan jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang selamanya kekal sebagai juara di hati rakyat Malaysia di sebalik insiden penyingkiran beliau pada Sukan Olimpik.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, rakyat Malaysia perlu terus bersatu hati dan bersolidariti memberi sokongan sepenuhnya kepada Azizulhasni.

Ujar beliau, sebarang cacian dan makian hanya kerana kekecewaan tidak dapat melihat aksi cemerlang Azizulhasni pada temasya kali ini perlu ditinggalkan.

“Segala yang berlaku adalah atas izin-Nya dan kita doa yang baik-baik sahaja.

“Tahniah Dato’ Azizulhasni dan terima kasih atas segala pengorbanan serta jasa selama ini.

“Sekali “The Pocket Rocketman”, selamanya “The Pocket Rocketman”. Anda tetap juara di hati kami!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah, Afnan Hamimi, walaupun pembatalan Azizulhasni pada acara keirin semalam meremukkan hati rakyat Malaysia, namun ia pastinya lebih meremukkan hati Azizulhasni sendiri.

Apatah lagi, ujar beliau, usaha dan pengorbanan jaguh trek negara itu untuk mencapai ke tahap seperti hari ini tidak mudah.

“Kesihatan, masa bersama keluarga, emosi diri dan banyak lagi terpaksa diketepikan demi menyumbang butir pingat kepada negara tercinta dan membawa nama Malaysia ke persada dunia.

“Beliau pernah mengayuh dalam keadaan kaki tertusuk kayu di Siri Piala Dunia Klasik demi negara. Malah, beliau tetap meneruskan perjuangan kali ini biarpun baru selesai menjalani pembedahan jantung.

“Oleh itu, biar apapun terjadi, rakyat Malaysia perlu terus bersatu hati dan bersolidariti memberi sokongan sepenuhnya kepada Dato’ Azizulhasni Awang,” katanya. – MalaysiaGazette