Bank Muamalat menganjurkan program literasi kewangan di Sekolah Menengah Saujana Impian, Kajang, Selangor Foto BANK MUAMALAT

KUALA LUMPUR- Bank Muamalat Malaysia Berhad menganjurkan program kesejahteraan kewangan dan kesihatan mental di Sekolah Menengah Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Bank itu dalam kenyataannya hari ini berkata, program tersebut diadakan bagi menyahut seruan kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan belia.

Program bertemakan ‘Memperkasakan Kesejahteraan Kewangan Masa Hadapan,’ melibatkan lebih daripada 350 pelajar, ibu bapa dan guru dilaksanakan dengan kerjasama Emerging Journey Asia Sendirian Berhad (EJAsia).

Menerusi program itu, pelajar, ibu bapa dan guru bukan sahaja didedahkan dengan ilmu pengurusan kewangan, malah mereka turut diberikan kesedaran mengenai isu kesihatan mental yang berkait rapat dengan kesejahteraan kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia.

Katanya, ia bagi menjamin kelestarian sumber kewangan individu, kesejahteraan masyarakat dan pengukuhan ekonomi negara.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, isu kewangan adalah antara masalah utama yang membelenggu masyarakat terutamanya golongan belia yang terjebak dengan hutang-hutang yang tidak mampu dibayar.

“Sejak 2019 hingga Disember 2023, mengikut data Jabatan Insolvensi Malaysia seramai 6,996 belia berusia 35 tahun ke bawah telah didaftarkan bankrap dan hal ini berlaku akibat kekurangan ilmu pengurusan kewangan di peringkat awal.

“Selari dengan usaha bersepadu kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan tahap literasi kewangan melalui pendidikan, Bank Muamalat mengambil pendekatan ini bagi membantu mereka secara holistik, terutamanya menerusi kemahiran, latihan dan pendidikan kesihatan mental,” katanya.

Tambah beliau, sejak 25 tahun lalu, Bank Muamalat komited untuk mencipta kehidupan lebih baik, bersama dengan menyokong isi rumah untuk menghadapi cabaran kewangan serta menjamin kesejahteraan kehidupan mereka dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan mengikut keperluan dan kesesuaian para pelanggan.

Sementara itu, Profesor Adjung Dr. Sangeeta Kaur, Ketua Pegawai Eksekutif EJAsia berkata, inisiatif ini amat penting untuk memahami punca dan faktor masalah kewangan yang bermula sejak dari usia muda.

“Melalui penyelidikan kami, mereka yang berhutang tiga kali lebih cenderung untuk membunuh diri.

“Oleh itu, golongan ini harus lebih arif dalam pengurusan kewangan supaya tidak terjerat dalam kancah hutang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan usaha meningkatkan kadar literasi kewangan Bank Muamalat, sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500, atau kunjungi cawangan Bank Muamalat yang berhampiran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast