Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingatkan semua pihak terutama yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri supaya bersederhana dalam kempen politik mereka.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, kempen menggunakan sentimen yang boleh menyebabkan bencana, kerosakan atau kerugian secara kerohanian boleh dianggap satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Pengaruh Tidak Wajar, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sehubungan itu, tambahnya, semua pihak perlu berkempen secara matang, bertanggungjawab, bebas dan adil serta mengutamakan kesejahteraan dan perpaduan kaum di Malaysia.

“Bersih merujuk kepada tuduhan oleh sebuah parti politik kepada parti dalam gabungan lawan dengan tuduhan “kafir harbi” dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Neggiri.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, seluruh warganegara Malaysia tanpa berbilang kaum dan agama mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dan harus dihormati semua pihak.

“Justeru, tidak wajar bagi sebarang kelas tertentu melabelkan masyarakat di negara kita yang seolah merendahkan sebahagian warganegara sebagai kelas kedua, apatah lagi dengan gelaran yang boleh membawa permusuhan terhadap sesuatu kaum atau agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, sempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi, seluruh pihak harus bersama membawa naratif keharmonian kaum untuk manfaat semua demi Bangsa Malaysia.

Awal hari ini, Ahli Jawatankuasa DAP membuat laporan terhadap dua individu yang didakwa menuduh parti itu sebagai kafir harbi pada program ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di PRK Nenggiri, baru-baru ini.

Naib Ketua Wanita DAP, Young Syefura Othman menyifatkan kenyataan dua individu tersebut merupakan ucapan kebencian dan merbahaya serta menggugat ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast