MELAKA – Sekurang-kurangnya empat kawasan penduduk tenggelam dalam kejadian banjir luar biasa sekitar Masjid Tanah, di sini sejak pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, ia melibatkan Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, Taman Masjid Tanah Ria dan Durian Daun.
“Hujan lebat berterusan bermula 11 pagi tadi menyebabkan air sungai dan parit melimpah ke kawasan penduduk yang rendah.
“Ekoran itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu PPS Balairaya Paya Lebar dan Seri Tanjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Sidang Kampung Ramuan China Besar Khairul Anwar Mansol berkata, hujan berterusan sejak 5 pagi tadi menyebabkan rumahnya di Taman Bandar Baru, Masjid Tanah dinaiki air kira-kira satu meter.
“Air mula naik di taman perumahan ini pada paras pinggang kira-kira pukul 10 pagi tadi menyebabkan saya tak sempat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah kecuali beberapa dokumen penting.
“Mujurlah saya bersama isteri dan tiga anak berusia antara 8 hingga 14 tahun selamat kerana sempat berlindung di sebuah kedai berdekatan rumah yang tinggi sedikit dan tidak dinaiki air,” katanya.
Selain itu, katanya beberapa kawasan berdekatan seperti Lubok China, Paya Lebar dan Sungai Siput juga turut dinaiki air.
Sementara itu, seorang penternak lembu, Muhammad Nabil Irfan Ibrahim, 22, berkata dia bersyukur kerana sempat melepaskan kira-kira 20 ekor lembu ternakannya di sebuah kandang di Kampung Ramuan China Besar.
“Banjir mula naik di kandang kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas hujan lebat sejak 7 pagi menyebabkan saya terpaksa meredah air hingga paras dada bagi melepaskan lembu.
“Walaupun banjir teruk, saya lega kerana setakat ini tiada lembu yang ditemui mati,” katanya. – MalaysiaGazette