Ibrahim Durum

JASIN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis masih dianggap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana gagal menjawab surat balas rasmi daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum.

Menurut Ibrahim, surat berkenaan telah diterima sendiri Jailani di pejabatnya pada 18 Julai lalu disaksikan pembantu setiausaha DUN berhubung keputusannya yang dikatakan telah menyertai Pas

“Tempoh diberikan dua minggu untuk beliau jawab surat itu sudah lebih, namun setakat ini saya belum terima sebarang jawapan surat itu daripada saudara Jailani.

“Jadi tanggapannya begitu (masih ADUN BN) walau apapun orang luar katakan, tapi selagi tak dapat surat saya tak boleh buat keputusan berdasarkan cakap-cakap (Jailani masuk Pas),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai
Siti Faizah Abdul Azis.

Ahmad Zahid melakukan gimik pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai, Jasin, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, ekoran kegagalan Jailani menjawab surat berkenaan, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih Dewan selewat-lewatnya Jumaat depan untuk memutuskan kedudukan ADUN Rembia.

“Mesyuarat ini dijangka diadakan minggu depan yang dianggotai ADUN, Exco dan Penasihat Undang-undang Negeri dan selepas itu barulah kita tahu apa tindakan seterusnya.

“Saya tak boleh meramalkan apakah kemungkinan namun ia menjadi keperluan DUN untuk tentukan kerusi DUN Melaka ada berapa pembangkang dan penyokong kerajaan,” katanya.

Ditanya adakah ini bermaksud Jailani masih dianggap ADUN BN selagi tidak menjawab surat rasmi berkenaan, Ibrahim berkata ia boleh dianggap begitu.

“Boleh dianggap begitu (ADUN BN) malah beliau boleh dikenakan tindakan kerana surat itu adalah arahan yang Speaker minta jawab dalam tempoh 14 hari dan bukan surat sewenang-wenangnya,” katanya.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media di Parlimen memaklumkan Jailani yang juga Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Melaka sudah menyertai Pas.

Keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani sebelum DUN Melaka membuat pindaan Akta Anti Lompat Parti pada Julai tahun lalu.

Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi DUN Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai aktiviti parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau digantung keahliannya oleh UMNO selama enam tahun susulan didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor. – MalaysiaGazette