Jurujual warga asing ditahan reman oleh SPRM untuk siasatan selepas menawarkan RM400 kepada penguat kuasa DBKL.

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual warga asing disyaki menawarkan rasuah RM400 kepada seorang penguat kuasa DBKL supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas premisnya yang menjalankan perniagaan farmasi ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Perintah reman selama empat hari sehingga 14 Ogos 2024 terhadap suspek lelaki berusia 30-an dikeluarkan oleh Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan sekitar pukul 9 malam setelah dibawa oleh penguat kuasa DBKL berkenaan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati sebuah farmasi di rumah kedai dua tingkat sekitar Kuala Lumpur beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing.

“Semasa pemeriksaan dibuat terhadap premis tersebut, penjaga premis yang juga merupakan seorang warga asing gagal mengemukakan lesen perniagaan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan suspek juga dipercayai telah menawarkan sejumlah wang RM400 kepada seorang penguat kuasa DBKL supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette