Pengarah Biro Ekonomi dan Perdagangan, Pemuda Amanah Nasional, Dr. Ng Ru Wei.

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus kekal komited untuk meneruskan inisiatif jelas yang dapat membina semula kekuatan ekonomi domestik ketika ini sehingga membawa kepada kekukuhan ringgit.

Pengarah Biro Ekonomi dan Perdagangan, Pemuda Amanah Nasional, Dr. Ng Ru Wei berkata, kerajaan juga mesti kekal melaksanakan pembaharuan dasar ekonomi untuk mengurangkan defisit fiskal negara serta menggalakkan pelaburan dan pembangunan infrastruktur.

Jelas beliau, ringgit masih mempunyai ruang untuk meningkat dengan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kadar faedah bulan depan.

Perkara itu, ujarnya, akan semakin mendorong pengembalian dana asing ke pasaran Malaysia dan perbezaan faedah yang semakin mengecil dijangka turut membawa impak positif kepada pengukuhan nilai mata wang serantau, termasuk ringgit.

“Akan tetapi, keadaan geopolitik yang semakin tidak stabil, khususnya ketegangan Asia Barat yang semakin meningkat sehingga berpotensi besar mencetuskan konflik mampu memburukkan sentimen semasa sehingga mencetuskan permintaan dalam dolar AS yang meningkat.

“Selain itu, kelewatan Fed untuk menurunkan kadar faedah juga akan menimbulkan ancaman kepada kestabilan mata wang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas pengukuhan ringgit ketika ini, Ru Wei berkata, antara faktor penyumbang termasuk aliran dana asing ke dalam pasaran bon tempatan, pemulihan sektor pelancongan yang berterusan dan asas ekonomi yang makin mengukuh.

“Selain itu, inisiatif kerajaan menggalakkan syarikat pelaburan tempatan untuk penghantaran pulang dana dari luar negara dan penukaran mata wang asing turut menghasilkan kesan yang positif terhadap nilai mata wang negara kita,” katanya.

Ringgit mengukuh kepada paras tertinggi berbanding dolar AS sejak 14 bulan lepas dengan pelbagai pihak terus menunjukkan keyakinan tinggi untuk ringgit meneruskan momentum sehingga hujung tahun ini.

Pada 5 Ogos lalu, ringgit meningkat sehingga mencecah paras RM4.42 berbanding dolar AS, iaitu tertinggi sejak 14 bulan lalu.

Ini meletakkan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini dan menurut Standard Chartered, ringgit merupakan satu-satunya mata wang serantau yang meningkat berbanding AS dolar setakat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast