P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – MIC mungkin dapat menjenamakan semula parti itu dan akan lebih berani menjuarai suara rakyat tanpa sebarang kekangan sekiranya meninggalkan Barisan Nasional (BN) serta kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Malah, Presiden Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr. P. Ramasamy berkata, beliau juga tidak yakin MIC akan kekal diberikan 10 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang sekiranya masih kekal dalam BN dan PH.

Jelas bekas pemimpin DAP berkenaan, perkara itu bukan disebabkan tindakan `khianat’ BN, tetapi kerana MIC yang dulu merupakan parti tertua orang India kini sudah hilang sokongan daripada masyarakat India.

“Bagaimana untuk MIC memulihkan imejnya sebagai sebuah parti orang India yang berkredibiliti masih tidak dapat dipastikan.

“Adakah MIC bersedia untuk meninggalkan BN dan kerjasama dengan PH?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan seperti dilaporkan media mendakwa, BN yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH ketika ini dilihat gagal membela nasib parti-parti komponennya terutama MIC dan MCA.

Menurutnya, hanya UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang merupakan parti kecil di Sabah mendapat pembelaan di dalam BN sementara parti bersifat kebangsaan seperti MIC dan MCA dipinggirkan.

Ujar beliau, tidak seperti PH, gabungan parti itu membela parti-parti komponen tidak kira sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“BN walaupun kita sokong Kerajaan Perpaduan sebagai en-bloc tetapi saya tidak lihat pendekatan yang sama atau semangat yang sama daripada kepimpinan BN. Kita tidak salahkan Perdana Menteri tapi kita lihat kepimpinan BN gagal membela nasib parti-parti komponen BN.

“Dalam BN hanya ada empat parti. UMNO dibela, satu parti kecil dari Sabah pun diberi ruang tetapi parti-parti kebangsaan seperti MIC dan MCA yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara ini bersama-sama BN tidak diberi ruang,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen MIC Negeri Perak kali ke-78 di Pusat Konvensyen Tun S Samy Vellu, semalam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.