Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya tidak melengahkan pengumuman kadar baharu gaji minimum membabitkan pekerja sektor swasta.

Timbalan Presiden MTUC, Matkar Siwang dilaporkan berkata, penantian kadar gaji minimum baharu telah meresahkan golongan pekerja swasta.

Jelas beliau, perdebatan kadar gaji minimum baharu semakin hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam.

“Kadar gaji minima baharu seharusnya mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos sara hidup yang semakin menekan pekerja bawahan.

“Kadar gaji minima sekarang sebanyak RM1,500 tidak munasabah dan tidak relevan di sebabkan oleh peningkatan kos barangan.

“Seseorang pekerja yang di bayar gaji minima sekarang akan membawa pulang pendapatan bersih sebanyak RM1,330 setelah di tolak caruman wajib,” katanya menerusi kenyataan hari ini, seperti dilaporkan portal MalaysiaKini.

Tambah Matkar, pekerja swasta terpaksa bekerja berterusan sama ada kerja lebih masa atau melakukan kerja sampingan selepas waktu kerja sebenar bagi menambah pendapatan.

Katanya, pendapatan bersih RM1,330 yang dibawa pulang itu rendah dan ia salah satu punca menyebabkan keseimbangan hidup dan kerja Malaysia kedua terburuk di kalangan 60 negara.

“Kerajaan boleh merujuk beberapa kajian yang telah di buat bagi menetapkan kadar baru gaji minima.

“Beberapa kajian yang di buat seperti Bank Negara Malaysia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menunjukkan gaji yang sesuai adalah melebihi RM2,000.

“Kerajaan tidak boleh melengahkan pengumuman kadar baru gaji minimum. Keprihatinan kerajaan ditagih untuk membuat keputusan yang baik bagi pekerja swasta.

“Kemampuan kewangan golongan pekerja bawahan menyeksakan bagi mengharungi kehidupan mendatang jika tiada kenaikan gaji,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kadar gaji minimum baharu akan menceriakan pekerja swasta selain mengimbangi antara pendapatan dan pembelanjaan.

Kali terakhir kerajaan menyemak semula kadar gaji minimum adalah pada Mei 2022 ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Ketika itu, Putrajaya menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 untuk syarikat swasta yang mempunyai lima orang pekerja dan ke atas.

Sementara itu, Anwar dijangka mengumumkan butiran mekanisme pelarasan gaji kakitangan awam pada majlis Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 yang dijadualkan pada 16 Ogos ini. –  MalaysiaGazette