Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengecam keras serangan ganas regim Zionis Israel ke atas Sekolah Al-Tabin di bandar Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 100 warga Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita serta ramai lagi dilaporkan cedera.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, serangan ganas yang tidak berperikemanusiaan itu wajar dikecam sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa.

Dalam masa sama, ujar beliau, tindakan keganasan itu juga selayaknya dijadikan asas utama ke atas regim Zionis Israel untuk dikenakan tindakan keras, sekatan mahupun pemulauan oleh negara-negara di dunia mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya, ia sekali gus membuktikan regim Zionis Israel sememangnya melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid ke atas warga Palestin di Semenanjung Gaza termasuk mencabuli undang-undang antarabangsa dan piagam PBB.

“Demi keadilan untuk warga Palestin, negara-negara di dunia khususnya negara Dunia Islam wajar memutuskan hubungan dengan regim Zionis Israel seterusnya mengheret regim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang yang dilakukan ke atas warga Palestin.

“Takziah diucapkan buat keluarga warga Palestin yang menjadi mangsa jenayah perang regim Zionis Israel.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka, dikurniakan ganjaran syahid dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, media antarabangsa melaporkan, lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah di Gaza yang digunakan untuk melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Tentera Israel bagaimanapun berkata, pihaknya menyerang lokasi terbabit kerana ia dikenal pasti sebagai pusat operasi Hamas.

Pejabat Media Gaza berkata, serangan Israel menyasarkan penduduk yang berpindah ketika menunaikan solat Subuh, sekali gus membawa kepada peningkatan besar dalam jumlah korban.- MalaysiaGazette