Empat individu termasuk Pengarah dan Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan negeri direman tiga hari selepas disyaki berkomplot menerima suapan bernilai kira-kira RM176,000, tahun lalu.

MELAKA – Empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri direman tiga hari selepas disyaki berkomplot menerima suapan bernilai kira-kira RM176,000, tahun lalu.

Majistret Mahkamah Melaka, Rafidah Che Aziz memerintahkan tiga suspek yang masing-masing berusia 40, 50 dan 60 direman selama tiga hari bermula hari ini manakala seorang lagi suspek wanita berusia 34 tahun direman selama sehari.

Perintah reman itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek yang memakai baju lokap SPRM bewarna jingga tiba di pekarangan mahkamah pada pagi tadi dengan diringi penguat kuasa.

Difahamkan kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka selepas disyaki telah menerima suapan dianggarkan berjumlah RM176,000.

Perbuatan itu adalah sebagai habuan meluluskan tuntutan kerja di jabatan tersebut yang mempunyai butiran matan palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman itu.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast