Anggota Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) di bantu Jabatan Penangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 967 saman dikeluarkan daripada 2,397 kenderaan yang diperiksa dalam Op Bersepadu, Op Tutup serta Op Mabuk yang dijalankan secara bersepadu dan serentak di beberapa jalan di ibu negara awal pagi tadi.

Mereka yang disaman termasuk beberapa penunggang motosikal yang melawan arus di jalan yang sibuk dan sesak kerana mahu lolos daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR).

Manakala seorang pemuda dipercayai memegang kad pelarian UNHCR menunggang motosikal diubahsuai ekzos bising antara yang ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, awal pagi tadi.

Azry Akmar Ayob bersama anggota JSPT, JPJ dan JAS melakukan pemeriksaan ketika sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OGOS 2024.

Operasi itu melibatkan 200 pegawai dan anggota melaksanakan operasi itu dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar bermula jam 11 pagi semalam, hingga 5 pagi tadi di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan utama dan sibuk termasuk sekitar Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Bangsar.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata, saman yang dikeluarkan oleh JSPT, JPJ serta JAS atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta ubah suai kenderaan.

“Polis berjaya menyita sebanyak 29 kereta kerana didapati mengubah suai strutur asal kenderaan selain yang jelas kesalahan mengikut undang-undang.

“Dalam SJR sama, polis berjaya menahan seramai lapan individu berusia antara 18 hingga 28 tahun apabila dikesan positif dadah dan 13 individu lagi berusia antara 18 hingga 50 tahun pula turut ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk iaitu di bawah pengaruh alkohol,” katanya pada sidang media di lokasi operasi berkenaan di Jalan Tun Razak, hadapan Istana Budaya di sini, awal pagi tadi.

Anggota JSPT, JPJ dan JAS melakukan sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OGOS 2024.

Turut hadir, Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dan Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Erick Jusiang.

Tambah beliau, Op Bersepadu, Op Tutup serta Op Mabuk yang dijalankan serentak dan secara bersepadu bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-udang jalan raya secara berhemah.

“Polis akan menjalankan operasi ini lebih kerap setiap minggu di sekitar pusat bandar selepas kami menerima aduan orang awam berhubung kacau ganggu dengan bunyi bising (ekzos) serta aksi membahayakan pengguna jalan raya lain (samseng jalanan) pada waktu malam.

“Dalam operasi ini, kami mendapati kesalahan paling utama dikesan dalam pemeriksaan SJR malam ini adalah mengubah suai kenderaan dan pihak JAS ada membuat pemeriksaan bunyi ekzos dan mendapati banyak motosikal yang diubah suai melebihi tahap desibel bunyi yang ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dengan tidak membuat sebarang ubah suai pada kenderaan serta tidak terbabit dengan kegiatan samseng jalanan yang menganggu ketenteraman masyarakat setempat.

“Sila patuh terhadap arahan daripada pihak berkuasa termasuk memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan ketika melalui SJR, mana-mana penunggang yang melakukan aksi seperti zig zag, Superman serta lain-lain boleh ditahan dan dituduh mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tegas Azry. – MalaysiaGazette

Azry Akmar Ayob bercakap pada media pada Operasi Bersepadu di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 OGOS 2024.