SAYAP Pemuda PH Kelantan ketika membuat laporan polis berkenaan kenyataan `kafir harbi' di IPD Gua Musang, Kelantan, semalam. - Pic: FB Shafiq Razak SR

KUALA LUMPUR – Politik ‘kafir mengkafir’ merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya kerana boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian negara yang dibina atas dasar toleransi dan saling menghormati.

Ketua Pemuda DAP Gua Musang, Nor Amin Shafiq Ismail berkata, tindakan itu jelas mempergunakan agama sebagai alat politik iaitu sesuatu yang dilarang dan tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Kenyataan seperti itu juga berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan bangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Nor Amin Shafiq bersama beberapa pemimpin sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis di ibu pejabat polis (IPD) Gua Musang, Kelantan, semalam berhubung kenyataan tersebut.

Menurut Nor Amin Shafiq, laporan polis itu dibuat dengan harapan tindakan segera dan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pimpinan anak muda pelbagai parti untuk turut sama mengecam kenyataan tersebut dan membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil.

Tegas beliau, ia penting bagi memastikan prinsip perpaduan dan keharmonian dalam berpolitik dapat dipertahankan.

“Kami berharap pihak polis dapat mengambil tindakan tegas bagi memastikan bahawa politik kebencian seperti ini tidak berleluasa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan parti itu adalah ‘kafir harbi di Malaysia’ pada program ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri supaya memohon maaf.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, mereka berkata, individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan.

Susulan itu, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, pihaknya ‘merehatkan’ seorang pengacara majlis yang dikatakan tersasul menyebut perkataan ‘kafir harbi’ menerusi ceramah di Sungai Asap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast