PEKAN – “Masakan orang asli adalah paling sihat sebab rebus dan bakar, tidak gunakan minyak.”
Demikian titah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dalam titah ucapannya sempena Sambutan Hari Orang Asli Sedunia (Sahora) Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, di sini.
Dalam program sambutan yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu, Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa lebih sejam memasak makanan tradisi orang asli iaitu daging salai masak air, ikan asam rebus dan ayam randau rebus bersama masyarakat setempat.
Sebelum itu, baginda turut berkenan berkongsi cerita dan mengimbau kenangan semasa baginda membesar di Johor.
“Saya masih ingat ketika kecil, Almarhum ayahanda selalu bawa saya ke perkampungan orang asli Kuala di Johor. Di situ saya belajar banyak benda termasuk makan siput gonggong, buah setu. Dah lebih 40 tahun saya tak makan buah setu, tak jumpa dah.
“Almarhum ayahanda memang rapat juga dengan ‘orang kita’ (orang asli), mereka juga ada datang ke istana (Johor).. kalau nak kahwin, dapat anak, sakit..semua mengadu dekat ayahanda saya,” titah paduka baginda.
Dalam pada itu, Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan bantuan kepada 10 wakil Ketua Isi Rumah (KIR) Kampung Orang Asli Permatang Keledang sempena sambutan Sahora kali ini.
Sambutan Hari Orang Asal Sedunia telah diumumkan pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Disember 1994 yang mengisytiharkan 9 Ogos setiap tahun sebagai Hari Orang Asli Sedunia (HOAS) dan sambutan pertama telah bermula pada tahun 1995.
Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sepanjang sambutan tersebut seperti Kenduri rakyat Madani, reruai jualan masyarakat orang asli, sukan rakyat dan persembahan kebudayaan. – MalaysiaGazette