Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi sidang media program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 6 Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 OGOS 2024.

KUALA KANGSAR – Tidak timbul isu Barisan Nasional (BN) meminggirkan komponennya di Perak seperti yang didakwa Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun perkara tersebut sangat subjektif.

“Pertama, sudah pasti tiada yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri (dalam kalangan komponen BN) sebab semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mereka bertanding kalah (pada pilihan raya umum).

“Malah, bekas Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah LAP (Lembaga Air Perak).

“Selain itu, daripada 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak, 14 daripadanya mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil MIC dalam PBT tersebut,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 6 di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, terdapat juga dalam kalangan pemimpin MIC yang dilantik sebagai ketua kampung melibatkan tiga daripada tujuh kampung India di negeri ini.

“Jadi di Perak semuanya fair and square (sama rata),” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, M Saravanan meluahkan kekecewaan berhubung layanan yang diberikan terhadap partinya di dalam gabungan BN.

Beliau mendakwa kepimpinan BN gagal membela parti-parti komponen seperti MIC dan keadaan itu tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang berusaha menjaga kepentingan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. – MalaysiaGazette