KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat 16.8 peratus pada bulan Jun 2024 (29,914 tan metrik) berbanding pada bulan Mei 2024 (25,608 tan metrik).

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.2 peratus (Jun 2023: 29,867 tan metrik), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (87.6%) berbanding sektor estet (12.4%).

Jumlah stok getah asli pada Jun 2024 menurun 8.5 peratus kepada 160,535 tan metrik berbanding 175,381 tan metrik pada Mei 2024.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.8%) dan estet getah (0.1%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 39,800 tan metrik pada Jun 2024, menurun 21.6 peratus berbanding Mei 2024 (50,798 tan metrik).

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 35.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Jun 2024 diikuti Jerman (11.8%), India (11.0%), Emiriah Arab Bersatu (6.6%) dan Amerika Syarikat (6.2%).

Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 4.4 peratus (Jun 2024: 775.19 sen sekilogram; Mei 2024: 742.36 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat sebanyak 7.7 peratus (Jun 2024: 707.51 sen sekilogram; Mei 2024: 657.16 sen sekilogram).

Prestasi suku kedua 2024 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 11.6 peratus kepada 76,848 tan metrik berbanding 86,944 tan metrik pada suku pertama 2024.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2024 pula mencatatkan penurunan 0.8 peritus berbanding suku kedua 2023 (77,453 tan metrik). -MalaysiaGazette